Saya merupakan seorang Penjaga Pantang atau Confinement Lady. Saya mula mempraktikkan urutan melayu seawal 23tahun dan ilmu urutan ini saya perolehi dari bonda saya sendiri. Tetapi ketika itu, minat saya hanyalah setakat putik, yang menunggu masa untuk berkembang dengan ruang waktu yang tersendiri.
Saya menamatkan pengajian saya dalam bidang Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan di UiTM Shah Alam dan mula bekerja di bidang swasta sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan. Tetapi setiap detik, minat saya terhadap amalan berpantang ini semakin menebal, lalu saya menjadi freelance agen menjual produk NR (lebih dikenali sebagai Nona Roguy). Melalui pelanggan yang membeli NR, saya melihat potensi perniagaan dalam bidang mengandung dan bersalin ini sangat-sangat memberangsangkan
Dalam saya berkerja sepenuh masa, saya mencari dan mengintai peluang dalam bidang penjagaan pantang. Dan saya rasa lebih selesa dan serasi dengan pengalaman yang saya ada sejak anak dara dahulu. Lalu saya membulatkan tekad, berhenti kerja, dan memulakan perniagaan Penjagaan Pantang untuk ibu-ibu selepas bersalin.
November 2011, titik bermulanya sireh pulang ke ganggang, apabila saya mempelopori bidang ini secara serius dan sepenuh masa. Pengalaman saya membantu bonda saya menjaga ibu-ibu dalam pantang sejak umur saya 23 tahun, menjadi bekal untuk saya bergerak sendiri.
Dan alhamdulillah...sehingga ke saat ini, saya masih dalam bidang penjagaan pantang ini. Dan saya telah melanjutkan pengajian Urutan Melayu di Malay Massage Academy, di bawah naungan TCM (traditional & Complimetary Medicine) di bawah payung Kementerian Kesihatan Malaysia.
Berdirinya saya di sini, adalah untuk memperjuangkan Amalan Berpantang Melayu yang semakin mendapat tempat di hati wanita-wanita Malaysia, tanpa mengira kaum. Dan saya ingin membantu, agar amalan tradisi nenek moyang kita ini, dapat membantu ibu-ibu tampil sihat dan anggun selepas bersalin.
Dengan rendah diri, saya memohon kepada pembaca, untuk membenarkan saya terus berkarya tanpa sempadan, dan bercerita perihal keindahan berpantang, seperti mana yang diceritakan oleh moyang saya, seorang bidan kampung. Dan biarlah rahsia ini saya kongsi...semoga kita terusan menjadi wanita yang sentiasa tampil gadis sepanjang masa.
Salam perkenalan
Kak Bidan.
ICE